Thursday, May 15, 2014

Cerpen Hujan Kala Kemarau

Hujan Kala Kemarau



BAB 1

 “ Panggg!!! “
Jihan terjaga dari tidurnya. Sudah hampir dua hari dia tidak mendapat tidur yang cukup. Bunyi yang kuat itu sekelip mata menghancurkan segala mimpin Jihan di kala dia sedang nyenyak tidur. Dari daun pintu biliknya, kedengaran seperti seseorang sedang menggelupur dan meraung di dapur.

          Jihan segera bangun dari katilnya dan mendapatkan adiknya, Jahri yang berusia 5 tahun. Jahri meraung-raung di telinga abang sulungnya. Badannya terdapat kesan belang-belang merah yang masih segar.  Dari jauh kelihatan  ayah mereka, Jazali keluar dari rumah sambil membawa sebatang getah paip dengan tidak berbaju. Jihan sudah faham perangai ayahnya yang terlalu panas baran. Dia segera mengambil minyak gamat dan menyapunya ke luka di badan Jahri.
          ___________________________________________________________________

          Jihan menguap sambil menutup mulutnya dengan tapak tangan. Mukanya kelihatan pucat dan tidak bermaya. Hari ini sudah masuk hari ketiga dia tidak cukup tidur. Sejak kebelakangan ini, baran ayahnya semakin menjadi-jadi. Kadangkala, mereka 5 beradik langsung tidak berbual atau bercakap dengan ayah mereka kerana terlalu takut. Pantang mereka tersilap cakap, batang paip bakal menjadi habuan.

          Jihan segera bersiap-siap untuk ke sekolah. Dia dan adik-adiknya terpaksa bangun awal pagi kerana jarak antara sekolah mereka dengan rumah sangat jauh. Tahun ini Jihan, 11 tahun, Farhan, 10 tahun, Talha, 9 tahun dan Mirhan, 7 tahun terpaksa bertukar ke Sekolah Kebangsaan Yayasan Muda disebabkan keluarga mereka tidak mampu membiayai yuran sekolah mereka berempat semasa di sekolah lama dahulu. Disebabkan itulah mereka terpaksa pergi ke sekolah yang jaraknya sangat jauh.

          Jihan memimpin keempat-empat adiknya ke sekolah. Bagi Jihan, adik-adiknya adalah tanggungjawab dirinya sebagai anak sulung. Ibunya, Kasimah sudah pergi menoreh getah awal pagi. Semasa semua adik-beradiknya sedang tidur, ibunya akan perlahan-lahan bangun dari tidur dan pergi menoreh bertemankan lampu suluh. Kadangkala, apabila Jihan tersedar dari tidur, ibunya akan segera berpura-pura mahu ke tandas. Ibunya sangat menyayangi anak-anaknya. Apa sahaja yang Jihan dan adik-adiknya minta, pasti akan dapat dengan berkat usaha seorang ibu. 

          Pernah suatu hari, Talha meminta kapal terbang kawalan jauh dari ibunya. Ibunya tetap mengangguk walaupun dia sedar, dia tidak mampu memenuhi permintaan anaknya itu. Pada malam itu, selepas solat Maghrib, Jihan memarahi adiknya kerana meminta barang yang bukan-bukan. Adiknya hanya menundukkan pandangan dari abangnya.

          Seminggu selepas kejadian tersebut, ibu mereka pulang ke rumah dengan membawa barang yang diminta oleh Talha. Talha melonjak-lonjak kegembiraan, namun ia tidak lama berterusan kerana Jihan sudah merampasnya dan memulangkannya kembali kepada penjual mainan tersebut. Jihan dapat mengagak bahawa ibunya sebenarnya berhutang dengan peniaga tersebut. Disebabkan kejujuran Jihan, penjual tersebut menghalalkan sahaja permainan tersebut kepada Jihan dan adik-adiknya. Malah, peniaga tersebut turut menghulurkan sedikit sumbangan wang kepada Jihan.



BAB 2


Setahun berlalu…..


“ Pon ponnn “, Kedengaran hon sebuah motor  dari luar rumah. Jahri yang sudah pandai mengira berlari ke luar rumah.
“ Pakcik! Lama tak jumpa pakcik… Aiskrim? “ Terserlah kemesraan antara anak kecil dan penghantar surat tersebut. Seperti kebiasaan, setiap kali lelaki penghantar surat tersebut datang, pasti dia membawa sebatang aiskrim buat Jahri. Nama lelaki tersebut adalah Norman tetapi kebanyakan penduduk di kawasan itu menggelarnya sebagai ‘Man’. 
          Man menghulurkan sebatang aiskrim Malaysia kepada Jahri. Kemudian, kelihatan Mirhan yang sudah berusia 8 tahun datang. Dia mengambil surat yang dihulurkan oleh Man. Tertulis nama ‘Ahmad Jihan Bin Jazali’ pada surat tersebut.

“ Mana Jihan? “ Soal Man.
“ Dia masih di sekolah. An pun baru balik. Mungkin along pulang lambat sikit. Tadi dia kata yang cikgu mahu berjumpa dengannya.” Jawab Mirhan yang menggelar dirinya sebagai ‘An’.
          Man menganggukkan kepalanya. Dia kelihatan sudah bersedia untuk menyambung kembali tugasnya. Dua beradik itu melambaikan tangan kepada Man. Motor Man perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah kayu yang sudah hampir roboh tersebut.
            Man disayangi oleh semua disebabkan sifat murah hatinya. Kadangkala, jika ada sesiapa yang memerlukan bantuan, dia akan sedia membantu  walaupun dirinya agak sibuk dengan tugas hariannya.

               ____________________________________________________________

Jihan meletakkan beg sekolahnya yang lusuh di atas lantai. Pergerakannya sudah boleh menunjukkan bahawa dia sangat  penat. Dengan perlahan-lahan Jihan mengheret kakinya ke sudut rumah. Kemudian, dia baring sambil melepaskan lelah. Namun, tidak sampai beberapa saat, otaknya kembali aktif memikirkan masalah keluarga.
                 _______________________________________________________

                    Tepat 9 haribulan 5 tahun lepas, ayahnya telah dipenjarakan atas hukuman mengedar dan menghisap dadah. Ketika itu, hanya Jihan dan ibunya yang kesedihan. Farhan dan adik-adiknya yang lain langsung tidak sedih malahan mereka sangat gembira kerana tidak perlu disebat dengan getah paip lagi. Namun, di sudut hati Jihan terselit juga rasa bahagia kerana tidak perlu lagi melihat ahli keluarganya terseksa dan dicederakan. Pada malam itu juga, terjadi sebuah insiden yang sangat menyayat hati sekaligus mematikan semua kegembiraan  Farhan dan adik-adiknya.

          Pada petang itu, ketika Jihan dan adik-adiknya sedang bermain di halaman rumah, tanpa disangka-sangka sebuah kereta besarmeluru laju ke arah mereka adik-beradik. Sepatutnya itu bukan laluan untuk kereta. Laluan tersebut hanya sesuai untuk motosikal dan basikal. Mereka semua sempat melarikan diri kecuali seorang dari mereka, Talha yang sedang ralit mengorek tanah. Kereta tersebut menghentam badan Talha dan dalam sekelip mata kepalanya hancur.
                             
               Kelihatan darah membuak-buak keluar dan mengalir di tanah tempat  Talha mengorek tanah sebentar tadi. Lubang yang dikoreknya tadi dipenuhi darah. Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan tiada siapa dapat menyangkanya kecuali dengan takdir Tuhan.  Sebaik mendengar bunyi hentaman,  Kasimah ibu mereka yang sedang menggoreng ikan di dapur segera berlari ke luar rumah. Beliau meraung-raung melihat keadaan anaknya yang sudah hancur . Orang kampung mula mengelilingi kawasan tersebut.  Man, sebagai seorang yang juga berada di tempat kejadian menelefon ambulans.
                   Malam itu juga mayat Talha ditanam di tanah perkuburan yang hanya 500 meter dari rumah Jihan. Jihan sangat sayu melihat keadaan ibunya yang kehilangan dua orang serentak dalam sehari. Kegembiraan adik-adiknya atas ketiadaan ayah mereka siang tadi dalam sekelip mata hilang. Malam itu juga, Jihan langsung tidak tidur. Hatinya serabut. Keluarganya tiada ketua, ibunya yang kehilangan dua orang tersayang dalam hidupnya, adik-adiknya yang mula menunjukkan protes, segalanya bersatu-padu di dalam hati Jihan.
                             ______________________________________________________

“ Along.”, Panggilan adiknya mematikan lamunan Jihan.Jihan menoleh ke arah adiknya, Mirhan. Mirhan kelihatan sudah mula faham dengan situasi keluarga mereka. Pada pandangan Jihan, adiknya yang seorang itulah paling cepat matang berbanding yang lain. Jihan lebih mudah berkongsi masalah bersama Mirhan walaupun dia sedar adiknya masih terlalu muda. Namun, dia sebagai anak sulung perlu mematangkan adik-adiknya yang lain.
          Mirhan menghulurkan  sehelai sampul surat kepada Jihan. Jihan terkejut kerana selama ini dia tidak pernah menerima surat yang bertulis namanya. Pada surat tersebut dicop tanda ‘SULIT’. Jihan segera mengoyak sampul surat tersebut. Di dalamnya tertulis tawaran kemasukan ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman (S.T.A.R) yang terletak di Perak.
“Alhamdulillah. Along dapat tawaran masuk ke sekolah asrama. Mana umi? “
“ Entah. Tadi umi tengah memasak. Mungkin umi di kebun. “ Jawab Mirhan yang leka menyusun kad permainannya yang bersepah di atas lantai.

               Jihan segera berlari ke kebun yang terletak di belakang rumahnya. “Umi. Umi!!!”, Kasimah melambai tangan ke arah Jihan tanda dia berada di situ. Jihan segera menuju ke arah uminya. Dia menunjukkan surat tawaran tersebut kepada uminya. Pada sangkaannya, umi akan gembira dengan tawaran tersebut namun perkara yang sebaliknya berlaku. Uminya menundukkan pandangan. Perlakuannya jelas menunjukkan bahawa beliau berasa sedih.
     Hati Jihan sangat kecewa sebaik sahaja melihat reaksi uminya. Hatinya meronta-ronta untuk belajar tinggal di asrama. Namun, sebagai anak sulung, rasa tanggungjawab sentiasa menebal di dalam hati.

                 “ Jihan,umi tak kisah dengan keputusan kamu. Tetapi, apa-apa pun keputusan kamu, kamu perlu ingat, musuh ayah kamu terlalu ramai. Dan, kamu perlu ingat, adik-adik kamu perlukan tunjuk ajar dari seorang abang. Umi minta maaf, umi tak mampu mendidik anak-anak umi dengan baik. Um..umi..”, Kasimah sudah tidak mampu meneruskan percakapannya. Kelihatan air mata umi sudah mula bergenang. Jihan sedar, umi sudah banyak menanggung beban. Semua beban diletakkan di atas bahu umi.
                               Saat itu juga, Jihan bertekad dia akan cuba untuk membuang segala beban yang ditanggung umi. Jihan menyangkal pernyataan uminya yang mengatakan bahawa umi tidak mampu mendidik mereka adik-beradik dengan baik. Bagi Jihan, uminya adalah ibu terbaik  dan terhebat di dunia. Umi mampu menjadi ibu dan ayah sekaligus. Hati Jihan membuak-buak marah. Dia bertekad bahawa suatu hari, dia akan menjadi seorang yang sangat berjaya walaupun dia hanya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jukip dan bukannya di sekolah berasrama penuh.




BAB 3
“ Along!!! Cepatlah.”, Jahri yang berusia 7 tahun menjerit memanggil abangnya. Hari ini merupakan hari pertama dia memulakan persekolahan. Jihan yang masih bersarapan di meja menoleh ke arah jam yang tergantung di dinding dapur. Jam baru menunjukkan pukul 6 pagi. Jahri sahaja yang terlebih bersemangat. Kebiasaannya, mereka bertolak dari rumah pada pukul 6:15 pagi. Jihan sengaja tidak mengendahkan panggilan adiknya. Dia tetap makan dengan perlahan-lahan.
                Ibu mereka tidak pergi menoreh getah hari ini. Disebabkan ibunya tidak berapa sihat hari ini, Jihan berniat untuk kembali semula ke rumah selepas menghantar adik-adiknya ke sekolah. Dia tidak kisah walaupun dia tidak mendaftarkan diri di sekolah menengah pada hari pertama persekolahan. Bagi dirinya, keluarga tetap menjadi keutamaan dalam  hidupnya.
                   “ Along, sudah enam sepuluh minit…”, Mirhan memberitahu  abangnya. Jihan segera bangun dan mencuci pinggan. Kemudian, dia bersalam dengan ibunya. Jihan membimbit tangan adik-adiknya. Perjalanan yang mereka akan lalui agak jauh. Pada anggaran Jihan, mereka akan sampai di sekolah adik-adiknya pada pukul 7 suku.
                        __________________________________________________________
                     
                   Akhirnya, mereka sampai juga di Sekolah Kebangsaan Yayasan Muda. Farhan, Mirhan dan Jahri bersalaman dengan abang sulung mereka.
“ Angah tolong daftarkan adik. Along nak balik rumah jaga umi. Nanti kalau ada masalah, minta tolong cikgu ya. Adik, jangan menangis tau. Sekolah ni ramai cikgu yang baik. Nanti abang An tolong perhatikan adik. Along pergi dulu.” Jihan memberikan pesanan dan nasihat kepada adik-adiknya. Sepatutnya kali ini, 4 orang adiknya akan bersekolah bersama-sama. Namun, pemergian Talha telah mengubah suasana. Selalunya, keriangan Talha yang sering menghiburkan hati mereka.
                          Jihan melepaskan nafas berat. Dia segera berlalu dari sekolah tersebut dan pulang semula ke rumahnya. Dalam perjalanan ke rumahnya, fikiran Jihan berserabut.
                            “ Woi budak!! Kau datang sini sekarang!”, Tiba-tiba ada suara memanggil Jihan dengan kasar. Dia menoleh ke belakang. Di sebalik sebatang pokok, ada seorang lelaki yang berbadan sasa sedang memegang parang. Jihan sedar dirinya dalam keadaan berbahaya. Tiada siapa dapat menyelamatkan dia memandangkan berseorangan diri di dalam kebun getah.

                       Tanpa berfikir panjang, Jihan mengambil langkah seribu. Lelaki berbadan sasa itu terus mengejarnya. Namun, nasib Jihan tidak baik. Lelaki tersebut berjaya memegang kolar bajunya. Jihan meronta-ronta untuk melepaskan diri sambil menjerit. Tanpa berfikir panjang, Jihan menyepak perut lelaki tersebut dan segera pecut ke rumahnya. Sebaik sahaja sampai di rumah, Jihan menghempas pintu dan menguncinya.
                     Lelaki yang berada diluar rumah itu menumbuk-numbuk pintu sambil memberi ancaman kepada keluarga Jihan. Kasimah yang sedang tidur terjaga apabila terdengar bunyi bising di ruang tamu. Sebaik melihat kejadian itu, Jihan memberitahu ibunya bahawa lelaki yang berada di luar itu adalah orang jahat.

Tiba-tiba, lelaki yang berada di luuar rumah itu diam dan sehelai kertas dimasukkan dari celah bawah pintu rumah tersebut. Jihan dan ibunya sangat lega kerana akhirnya lelaki itu pergi jua.
Jihan segera mengambil surat yang dimasukkan itu. Surat itu tertulis
‘ Ayah kau sudah ragut isteri  aku, ayah kau sudah rompak rumah aku, ayah kau hampir rogol anak aku, sekarang masa untuk aku balas semuanya kepada keluarga kau. AWAS!!!’
        Surat berbentuk ancaman itu sudah cukup membuatkan kaki Jihan menggeletar. Dia sedar itu merupakan tanggungjawabnya untuk melindungi keluarganya dari sebarang ancaman. Namun, apakah daya dia sebagai seorang remaja yang berusia 13 tahun. Bagi orang dewasa, umur sebegitu masih dianggap kanak-kanak.
                               Tiba-tiba hati Jihan membuak-buak marah. Semua ini salah ayahnya. Disebabkan ayahnya, keluarga mereka diburu. Disebabkan ayahnya, mereka miskin. Disebabkan ayahnya, ibu mereka sakit. Disebabkan ayahnya, dia terpaksa memikul tanggungjawab melindungi keuarga mereka. Jihan menyahut cabaran ayahnya. Dia sedar, jika dia tidak menyahut cabaran itu, dia bukanlah lelaki sejati dan dia tidak patut dianggap sebagai anak sulung.
                      “Mulai sekarang, aku akan sentiasa menyahut cabaran kau, ayah. Aku tahu, aku bukan seorang yang lemah seperti kau. Kau tak mampu  menanggung keluarga kau. Kalau kau tak mampu, aku mampu ayah.”, Jihan berbisik di dalam hatinya. Dia yakin dia mampu melalui segala cabaran ayahnya.



BAB 4

Empat tahun berlalu………

“Ahmad Jihan Bin Jazali”
 Jihan segera bergerak ke meja pengetua.
“ Tahniah, Jihan. Kamu seorang murid yang sangat cemerlang.” Pengetua berjabat tangan dengan Jihan. Jihan masih keliru. “Kamu berjaya memperolehi 9A”, Kali ini Cikgu Melati pula memberitahunya. Bagaikan tidak percaya, Jihan melompat-lompat di hadapan pengetua. Pada sangkaannya, dia hanya memperoleh 4A dalam SPM. Namun, atas kekuasaan Tuhan, dia akhirnya berjaya membuktikan kepada semua orang bahawa dia bukannya seorang yang tidak berguna. Jihan mengambil surat keputusan SPM miliknya dan segera mencapai begnya. Dia mahu menunjukkan kejayaannya kepada ibu tersayang. Jihan yakin, kali ini ibunya akan berasa sangat gembira.                                                       

          Dalam perjalanan pulang ke rumah, Jihan menyanyi-nyanyi riang. Sebaik sahaja sampai di rumah, Jihan mengetuk pintu rumah.
“ Umi, ini Jihan. Jihan ada kejutan untuk umi.” Jihan menjerit memanggil ibunya. Selepas beberapa saat, pintu terbuka dan wajah ibunya tersembul di muka pintu. Muka ibunya sudah mula berkedut. Tenaga ibunya makin berkurangan. Sakit ibunya juga makin menjadi-jadi.
           “ Jihan, umi tahu anak umi seorang yang berpelajaran. Sekejap tadi Kak Pah datang. Dia ada bagitau umi, anak umi dapat 9A+. Tahniah Jihan.” Kasimah memeluk erat anaknya. Mata Kasimah mula berair. Namun, ia bukan air mata kesedihan. Itu merupakan air mata kegembiraan seorang ibu yang melihat anaknya berjaya.
                               “Terima kasih, umi. Along minta maaf pada umi. Along dan adik-adik banyak menyusahkan umi.” Jihan sudah mula menangis. Sudah agak lama dia tidak menerima pelukan dari seorang ibu. Hari ini, sekali lagi dia mendapat peluang itu.
                        _________________________________________________________

                                    Jihan sudah bersiap-siap dengan begnya di hadapan pintu. Hari ini, buat pertama kali dia akan meninggalkan keluarganya demi menuntut ilmu. Kak Pah dan suaminya sudah menunggu Jihan. Mereka akan menghantar Jihan ke Universiti Sains Malaysia. Biasiswa sepenuhnya telah diberikan oleh kerajaan.
                             “ Jihan, belajar sungguh-sungguh ya. Kamu tak perlu risau pasal umi dan adik-adik. Kamu perlu fokus untuk berjaya. Bila kamu besar nanti, kamu pasti akan menjadi orang yang berguna.” Kasimah memberi pesanan buat anaknya. Dia yakin selepas ini, pasti susah untuk menatap wajah anaknya itu memandangkan tempat anaknya belajar agak jauh.
“ Baik Umi. Along pergi dulu. Along minta maaf kalau along ada sakitkan hati umi ataupun susahkan umi. Umi adalah ibu terbaik yang along pernah lihat.” Kak Pah yang berada di belakang Jihan sudah berair matanya. Dia faham keluarga Jihan susah. Namun, apakan daya dia. Dia pun sudah berumur dan selalu sakit.
        
                          _________________________________________________________                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               








BAB 5  

                Kelihatan seseorang yang berpakaian serba putih keluar dari kereta B.M.W tersebut. Kasimah agak terkejut kerana sebelum ini tiada orang kaya yang pernah datang ke rumahnya yang hampir roboh itu. Matanya yang rabun tidak dapat melihat dengan jelas wajah orang itu. Dia yang menghendap dari tingkap rumah itu sangat takut apabila memikirkan bahawa itu adalah orang jahat kerana dahulu suaminya jahat. Dia bimbang ada orang yang berdendam dengan keluarganya.
Kasimah segera mencapai cermin mata yang diletakkan di atas meja kopi kayu. Orang itu berjalan ke pintu rumahnya dan mengetuk pintu. Kasimah perlahan-lahan bergerak ke pintu rumah. Hatinya ragu-ragu sama ada dia mahu membuka pintu tersebut ataupun tidak. Dari cara pintu itu diketuk, ia menunjukkan orang yang datang itu berniat baik.
   “ Assalamualaikum...” Sebaik terdengar perkataan itu, hati Kasimah semakin yakin untuk membuka pintu tersebut. Perlahan-lahan dia memulas tombol pintu rumahnya.
Mata Kasimah serta-merta menjadi bulat. Mulutnya ternganga dan jantungnya berdegup kencang.
“ Jihan???”
“ Umi...” Doktor tersebut membalas soalan Kasimah.
“ Ya Allah, anak umi… Jihan, kamu ke ni???” Kasimah seperti tidak percaya bahawa itu adalah anak sulungnya. Sudah hampir dua tahun mereka tidak berjumpa dan sudah hampir sebulan mereka tidak berhubung melalui telefon. Tiba-tiba pula hari ini anaknya tersembul di muka pintu rumahnya.

     __________________________________________________________________

“ Baik, sekarang aku sudah selesaikan hutang keluarga aku dengan keluarga kau. Sekarang jangan kacau keluarga aku lagi. Sekali lagi aku nampak kau merayau-rayau di keliling rumah aku, siap kau. Hutang kami semua sudah langsai. Jadi, kita sudah tiada apa-apa lagi.” Jihan memberi amaran sambil menghulurkan duit beribu-ribu kepada orang itu.

          Orang itu mengambil duit tersebut sambil mengangguk kepalanya.
Jihan berpuas hati dengan reaksi orang itu. Dia melepaskan nafas lega. Mulai sekarang, tiada siapa pun boleh mengganggu keluarganya ataupun memperlekehkan keluarganya. Dia sudah berjaya membuktikan bahawa mereka sekeluarga bukanlah seperti yang ayah dan semua orang sangkakan. Mereka juga mempunyai maruah.



BAB 6

“ Yay!! Terima kasih, along…” Jahri turun dari kereta abangnya dengan gembira. Buat pertama kalinya dia menaiki kereta mewah selain kereta jiran mereka. Hari ini langit mendung. Sudah agak lama hujan tidak turun di kawasan tersebut. Kasimah turun dari kereta perlahan-lahan. Kakinya sakit.
                   Jahri yang melihat keadaan itu segera membantu ibunya dan memimpin ibunya masuk ke rumah yang baru dibelinya. Rumah banglo itu dibeli khas untuk ibunya. Namun, rumah banglo yang dibelinya itu ada lif. Jadi, lebih mudah untuk ibunya naik dan turun.
“ Terima kasih, Jihan. Umi sayang Jihan” Muka Kasimah menampakkan bahawa dia sedang berasa sangat bahagia. Hati Jihan berbunga-bunga. Buat julung kalinya kata sayang diucapkan kepadanya.
                      Sebaik sahaja mereka bertiga masuk ke rumah, hujan lebat turun ke bumi.
“ Alhamdulillah… Hujan kala kemarau.”


1 comment:

  1. Salah satu Novel simple & 5 Star. Teruskan penulisan yang baik.
    Berjaya membawa pembaca menjiwai watak dan jalan cerita yang teratur.

    ReplyDelete